Gandingan serasi Safee Sali. |
GANDINGAN berbisa, Mohd Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha kembali menjadi pertaruhan terbaik ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal untuk menggempur barisan terkuat Australia pada aksi persahabatan antarabangsa di Canberra, 7 Oktober ini.
Kehadiran semula dua penyerang utama skuad Harimau Malaya itu amat dinanti-nantikan selepas harapan untuk melihat penggempur digeruni ketika Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF Disember lalu tidak kesampaian pada pusingan kelayakan Piala Dunia lalu akibat masalah kecederaan. Menurut Rajagobal, beliau tidak sabar untuk melihat semula Safee dan Norshahrul atau Mat Yo bergandingan menerajui bahagian serangan.
“Ini masa yang terbaik untuk saya melihat dua pemain ini bermain semula dan saya berharap mereka dapat beraksi dengan baik,” katanya yang mengendalikan sesi latihan pusat pertama bersama 26 pemain di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Pada perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia menentang Singapura Julai lalu, Safee terpaksa ‘berseorangan’ apabila Norshahrul mengalami kecederaan hamstring yang menyaksikan Malaysia tumpas dalam aksi timbal balik menerusi agregat 6-4 kepada musuh tradisi itu.
Kali terakhir mereka beraksi bersama pada Februari lalu ketika Harimau Malaya mengalahkan Hong Kong 2-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam. Sementara itu Safee yang baru pulang daripada menjalani latihan bersama kelab Cardiff City kelmarin turut teruja untuk kembali beraksi di sisi Norshahrul.
“Ini baguslah untuk pasukan kebangsaan apabila kami dapat bersama semula, dia (Norshahrul) pun sudah pulih daripada kecederaan, prestasi dia dalam saingan Piala Malaysia juga bagus, harap saya dan dia dapat beraksi bersama menentang Australia,” katanya.
Aksi menentang Socceroos ini bakal menjadi ujian besar buat Rajagobal yang bakal mempersiapkan diri untuk mempertahankan Piala Suzuki AFF tahun depan selepas mereka gagal dalam misi kelayakan Piala Dunia.
Bagi Rajagobal, beliau menganggap pertemuan dengan skuad kendalian Holger Osieck ini adalah pendedahan terbaik buat anak buahnya yang kali ini turut dibarisi muka-muka baru antaranya Wan Zaharulnizam Zakaria, Syahrul Azwari Ibrahim, K Reuben dan Norazlan Razali.
“Ini kesempatan terbaik untuk pemain-pemain mendapat pengalaman apabila bertemu dengan pasukan bertaraf dunia seperti Australia. Ini juga peluang untuk saya menilai kemampuan pemain berdepan pasukan kuat dari aspek teknikal, mental dan fizikal,” katanya.
Sumber : Safee, Mat Yo Jadi Sandaran | my Metro
matyo meme hebakkk ! SUPERB !
ReplyDelete