Thursday, October 6, 2011

Dari Liga FAM Ke Piala AFC.






Piala AFC 2012.


KELANTAN FA "Berada di tangga ketujuh Asean dan ke-317 dunia". Itu statistik terbaru yang dikeluarkan oleh International Federation of Football History and Statistics (IFFHS), semalam mengenai pasukan bola sepak Kelantan. Mungkin banyak pihak akan mencemburui, namun itu hakikat harus diterima betapa usaha Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) melalui pasukan bola sepak The Red Warriors mencipta kejayaan sejak tiga tahun kebelakangan ini kini membuahkan hasil. 

Daripada bergelar pasukan negeri yang pertama beraksi dalam Liga FAM, Kelantan seharusnya wajar dinobatkan selaku kuasa baru bola sepak negara berdasarkan beberapa kejayaan cemerlang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Langkah Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa mentransformasikan bola sepak Kelantan sejak sahaja mengambil alih tampuk kepimpinan Kafa penghujung 2007 dilihat cukup berjaya. 


Tampil dengan falsafah bola sepak yang tersendiri, Annuar memulakan langkah pertama dengan menjenamakan semula bola sepak Kelantan dengan gelaran The Red Warriors’ atau Pahlawan Merah yang cukup sinonim sehingga ke hari ini. Setelah melalui zaman gelap sejak beberapa tahun lalu termasuk pernah beraksi dalam Liga FAM pada tahun 2005, yang disifatkan liga kelas ketiga dalam bola sepak negara, Kelantan mendaki sedikit demi sedikit dengan menghuni Liga Perdana dan seterusnya mengungguli Liga Super pada hari ini. 

Melangkah ke pertandingan ke Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang akan berlangsung pada tahun depan memberi isyarat kepada Kelantan betapa penyertaan mereka buat sekadar untuk suka-suka. Sebaliknya, Annuar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), awal-awal lagi mendedahkan betapa pasukannya mahu melangkah lebih jauh biarpun baru pertama kali beraksi dalam perlawanan bertaraf antarabangsa. 


Kelantan FA Juara Liga Super 2011.


Bermula dengan menghuni tangga ketiga Liga Perdana pada 2008, Kelantan menongkah arus mengharungi cabaran Liga Super pada tahun berikutnya dengan kejutan luar biasa apabila mengakhiri cabaran di tempat keenam keseluruhan. Namun lebih menarik, sesuatu yang tidak boleh dilupakan pada 2009 apabila Kelantan berjaya mara ke perlawanan akhir Piala FA buat pertama kali, namun dikecewakan oleh Selangor menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 setelah kedudukan terikat seri 1-1 sehingga masa tambahan. 

Tidak terhenti di situ apabila pada tahun itu juga, Kelantan berjaya mengakhiri penantian sejak 39 tahun apabila mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia. Namun derita Kelantan sekali lagi berpanjangan, kali ini dinafikan hajat oleh Negeri Sembilan menerusi kekalahan 3-1. Tahun 2010 menyaksikan kebangkitan kembali The Red Warriors yang terlepas dua piala pada tahun sebelumnya. Biarpun tersingkir awal pada pusingan kedua kepada Kedah dalam kempen Piala FA, namun Kelantan membuktikan mereka antara pasukan yang perlu diberi perhatian apabila muncul selaku naib juara Liga Super di belakang Selangor. 

Tanggal 29 Oktober 2010 menjadi sejarah kepada bola sepak Kelantan apabila muncul juara piala Malaysia buat pertama kali sejak 89 tahun lalu. Tampil dalam pentas final buat kali kedua berturut-turut, dendam Kelantan akhirnya tertunai apabila berjaya membalas dendam dengan mengecewakan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan akhir. Permulaan yang baik pada tahun ini, meraih gelaran juara Piala Sultan Ahmad Shah pada 29 Januari lalu mengecewakan Selangor 2-0 di Shah Alam. Rentak cemerlang Kelantan bagaimanapun sedikit sumbang apabila tersungkur 2-1 kepada Terengganu dalam perlawanan akhir Piala FA pada 11 Jun lalu. 


Piala yang dimenangi oleh Kelantan FA dalam masa 3 tahun.

Kelantan kembali mendakap trofi kejuaraan, kali ini menjuarai piala Liga Super buat pertama kali sejak tujuh tahun lalu setelah mengalahkan Sabah 2-1 dalam perlawanan terakhir liga. Namun masih ada tugas yang belum selesai, mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi sememangnya cukup sukar dan lawan yang menanti kali ini, Terengganu bakal membuat perhitungan dengan Kelantan pada 10 dan 14 Oktober ini. 

Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu disifatkan gelanggang keramat bagi pasukan Kelantan. Stadium yang berusia 44 tahun itu menjadi saksi kepada jatuh bangun bola sepak Kelantan sejak beberapa dekad lalu. Kalau mahu melihat kemeriahan bola sepak Malaysia, datanglah ke Kelantan. Tatkala persatuan bola sepak negeri lain bergelut untuk menarik sokongan setia penyokong mereka sendiri datang ke stadium, gelanggang keramat bagi Kelantan itu tidak pernah sunyi dengan kehadiran puluhan ribu penyokong setia mereka. 

Tidak salah untuk mengatakan, kehadiran puluhan ribu penyokong itu sememangnya melebihi kapasiti stadium tersebut. Inilah wajah sebenar peminat fanatik bola sepak Kelantan. Mereka bukan sahaja menakluki stadium mereka sendiri, tetapi turut berkelana ke stadium di seluruh negara. Dari Perlis sehingga ke Sabah, tidak ada penyokong negeri lain selain Kelantan yang sanggup berkelana sejauh itu semata-mata memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.


Jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu  menjadi
jurulatih pertama membawa Kelantan menjadi Juara Liga Super.


Foto : Kelate.Net photography
Sumber : Dari Liga FAM ke Piala AFC  | Sinar Harian Edisi Kelantan - Sukan

1 comment:

  1. banggo aku jadi anok kelate...hahaha

    nFx
    noframex.blogspot.com

    ReplyDelete