Azamuddin Akil a.k.a Alex. |
Kehadiran pemain yang berasal dari Kampung Relong, Kuala Lipis Pahang itu disahkan sendiri oleh pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim sekali gus menamatkan khabar angin mengenai siapa pemain pinjaman yang akan membantu The Red Warriors mengharungi cabaran edisi kali ini. Azman berkata, pemain tersebut akan mula melaporkan diri bagi menyertai sesi latihan bersama skuad bimbingan Datuk M. Karathu hari ini.
Menurutnya, kehadiran Azzamuddin dijangka memantapkan lagi jentera serangan Kelantan di ketuai oleh penggempur berbisa negara, Norsharul Idlan Talaha.
"Daripada tiga kuota pemain pinjaman diperuntukkan, kita hanya meminjam Azammuddin bagi memperkuatkan pasukan dan dia bakal digandingkan bersama Norshahrul Idlan (Talaha) di posisi serangan.
"Saya melihat pemilihan Azamuddin tepat pada masanya setelah posisi serangan kita menghadapi masalah penyudah dalam kempen Liga Super baru-baru ini.
Kehadiran pemain ini memberi pilihan kepada jurulatih Datuk M. Karathu untuk menyelesaikan masalah di posisi tersebut," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Tambahnya, Azamuddin yang juga penjaring gol kedua terbanyak pasukan Tok Gajah musim ini, merupakan satu-satunya pemain tunggal yang dipinjam oleh The Red Warriors.
Dalam pada itu, Azman menegaskan, kehadiran Azammuddin bukan bermakna tempat baginya sudah terjamin, sebaliknya beliau juga perlu bersaing dengan penyerang yang lain bagi merebut posisi di bahagian serangan itu.
"Peluang terbuka untuk penyerang yang lain seperti Muhammad Ramzul Zahini (Adenan), Mohd. Nizab (Ayub) dan Muhammad Khalid (Jamlus) merebut tempat dengan syarat mereka perlu membuktikan prestasi mereka berada ditahap terbaik.
"Selama ini pun mereka juga sentiasa diberi peluang oleh pihak pengurusan. Jadi dengan kehadiran Azammudin itu diharap mencetuskan persaingan yang sihat dalam kalangan mereka untuk merebut posisi tersebut," ujarnya.
Jelasnya, dengan kehadiran pemain ini serta lima pemain dari skuad Piala Presiden Kelantan yang diserap ke dalam skuad senior, The Red Warriors dilihat mampu mempertahankan kejuaraan musim lalu.
Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah kerana memberi kelulusan kepada The Red Warriors meminjamkan pemain tersebut.
Azammuddin atau lebih dikenali dengan panggilan 'Alex' pernah beraksi dengan kelab Shahzan Muda dan UPB Perak - MyTeam.
Disalin oleh : Nick Hafiz
Sumber : Utusan Malaysia Online - Sukan
No comments:
Post a Comment