Saturday, December 17, 2011

TRW Sasar Rekod Tanpa Kalah Liga.




Majlis menandatangani penaja TRW.

BUKAN sekadar laungan kosong, pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), memasang impian membara bagi memastikan sasaran menyapu bersih empat piala dipertandingkan musim depan terlaksana.

Bukan itu sahaja, Kafa juga menetapkan visi kepada setiap pemainnya untuk memenangi semua perlawanan tanpa mencatatkan sebarang rekod kekalahanan bagi kempen Liga Super.

Kata-kata penuh azimat itu dilontarkan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa pada Majlis menandatangani program kerjasama Kafa-Happy dan penaja bersama The Red Warriors 2012 di Digi Telecommunications, Subang Hi-Tech, semalam.

“Kita memandang serius setiap cabaran yang bakal menjelang tidak lama lagi. Malah, saya menaruh keyakinan ingin melihat pasu­kan The Red Warriors sekali lagi menjejakkan kaki ke Stadium Bukit Jalil pada perlawanan akhir Piala FA yang dijangka diadakan April depan.

“Kalau boleh, saya mahu melihat pasukan Kelantan melakukan winning streak dalam semua perlawanan liga dengan dibantu dua tonggak import, Danny Antwi dan Mohammed Mahmoud Ghaddar.

“Malah, kami juga membawa obor negara apabila menyertai saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) nanti,” katanya.

Pada majlis sama, Kafa turut menandatangani penajaan bersama tujuh syarikat lain antaranya Sinar Harian, Al-Hamra, Masterskills, RW Plus Energy, Umbro, Warriors dan Yusmira. Sementara itu, Annuar berkata, pihaknya amat berbangga apabila penaja Happy bersetuju untuk terus menyokong pasukan bola sepak Kelantan.

“Kami berharap kerjasama antara kedua belah pihak pada musim ini akan dikekalkan bagi membuahkan hasil yang lebih positif,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan pra-musim yang dijalankan pasukannya, Annuar ternyata berpuas hati dan berharap momentum kemenangan dapat diteruskan menjelang aksi sebenar Liga Malaysia yang bermula awal Januari depan.

Sepak mula liga tempatan bakal menyingkapkan tirainya dengan Kelantan bakal menjadi tuan rumah untuk pertandingan Piala Sumbangsih menentang Negeri Sembilan pada 7 Januari depan di Kota Bharu.

Kelantan juga menempah slot beraksi di pentas antarabangsa bersama Terengganu dalam saingan Piala AFC yang dijangka berlangsung Mac depan.

Ditulis oleh : Mohd Fahmi Ismail
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

Wednesday, December 14, 2011

Ramai Nak Uji Harimau Malaya.





Kecemerlangan skuad Harimau Malaya membuatkan banyak pasukan antarabangsa
berminat mengadakan perlawanan persahabatan.


SHAH ALAM - Arab Saudi sudah bersetuju dan sanggup membiayai, Congo pula sudah memohon malah sehingga Iran mahupun Paraguay, mula mengintai untuk mengadakan perlawanan bola sepak persahabatan dengan skuad kebangsaan sepanjang tahun depan.

Semuanya gara-gara fenomena kejayaan Harimau Malaya menjulang Piala Suzuki AFF 2010 dan kehebatan Harimau Muda pada Sukan SEA XXVI lantas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pula tidak menang tangan untuk menguruskan siri persahabatan antarabangsa A itu di Malaysia atau luar negara.

Hasrat negara di ranking dunia lebih baik yang memang ditunggu-tunggu Malaysia itu, didedahkan pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Subahan Kamal yang ditemui pada majlis undian Liga Super, Liga Perdana dan Piala FA 2012 di sini, semalam.

"Arab Saudi mempelawa, malah sanggup membiayai kehadiran pasukan kita dari segi penerbangan dan penginapan dalam persahabatan di Melbourne pada 20 Februari ini sebagai persediaan menjelang jadual Kelayakan Piala Dunia 2014 mereka dengan Australia.

"Hasrat kesemua pasukan ini menunjukkan Harimau Malaya sudah mempunyai nama dan mutu permainan yang boleh dibanggakan. Kecuali Arab Saudi yang sudah sah, yang lain-lain masih di peringkat perbincangan tetapi jika berjaya, ini bakal menjadi persediaan terbaik kita mempertahankan Piala Suzuki AFF, tahun depan," katanya.

Kata Subahan yang juga Naib Presiden FAM, Congo memohon untuk mengadakan persahabatan di Kuala Lumpur sementara rundingan dengan Iran bakal bergantung kepada persetujuan mengenai soal bayaran, tarikh perlawanan dan gelanggangnya.

"Kita memang serius untuk mempertahankan Piala Suzuki AFF apatah lagi sebagai tuan rumah, sudah pasti tidak manis kalau kecundang mudah lebih awal pada tahun depan. Maka saya rasa sasaran wajar kita ialah sekurang-kurangnya mara ke perlawanan akhir.

"Malah, hasil persediaan rapi dalam siri persahabatan dan Piala Suzuki AFF ini, bakal mampu memantapkan skuad negara bagi menghadapi matlamat pasukan yang lebih penting, Kelayakan Piala Asia 2015," ujarnya.

Jelasnya, skuad kebangsaan hanya akan kembali dihimpunkan bagi sesi latihan pusat lima hari di Wisma FAM bulan depan sebelum dilepaskan semula kepada pasukan Liga M masing-masing yang bakal bersaing 10 Januari ini.

Ditulis oleh : Abdul Hafiz Ahmad
Sumber : Utusan Malaysia Online - Sukan

Tuesday, December 13, 2011

TRW Mampu Capai Sasaran - Kelate.Net.





Kelan Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan.


KELAB penyokong siber bola sepak Kelantan, Kelate.Net yakin skuad The Red Warriors (TRW) mampu mencapai sasaran empat piala yang dipertandingkan dalam Liga Malaysia, musim depan.

Presidennya, Khairi Yazid berkata, walaupun tampak mustahil, namun beliau percaya skuad yang kini dikendalikan Peter Butler itu mampu menterjemahkan hasrat tersebut berdasarkan persiapan mantap pasukan berkenaan.

“Kami yakin gandingan barisan pemain sedia ada dan pemain import mampu merealisasikan sasaran itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairi berharap Kelantan mengadakan lebih banyak perlawanan kompetitif menentang kelab luar negara dalam usaha memantapkan pasukan itu menjelang Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang disertainya Mac tahun hadapan.

Katanya, ia bukan sahaja mampu meningkatkan mutu permainan, malah sebagai satu cara memperkenalkan negara ini di peringkat lebih tinggi.

Dalam Kejohanan Piala AFC, Kelantan diundi dalam Kumpulan H bersama Ayeyawady United (Myanmar), Arema Malang (Indonesia) dan Navibank Saigon (Vietnam).

Manakala satu lagi wakil negara, Terengganu diundi dalam Kumpulan F bersama Kitchee United (Hong Kong), Song Lam Nghe An (Vietnam) dan Tampines Rovers (Singapura).

Ditulis oleh : Iqlil Dhania Mohamad
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

Monday, December 12, 2011

Ghaddar, Indra Benam T-Team.





Ghaddar meraikan kejayaan Indra menjaringkan gol.


KOTA BHARU – Dua gol masing-masing menerusi jaringan penyerang kebangsaan Lebanon, Mohammed Ghaddar Mahmoud dan Indra Putra Mahayuddin dalam babak berbeza menceritakan skrip yang terhasil oleh Kelantan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan nyata satu amaran besar kepada pasukan lain.

Natijahnya pasukan semifinalis Piala Malaysia musim ini, T-Team nyata bukan tandingan sebenar setelah tewas mudah 0-2 kepada Kelantan dalam aksi perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam semalam.

Meskipun berstatus perlawanan persahabatan biasa, stadium keramat berusia 44 tahun itu tetap penuh apabila hampir 20,000 penyokong setia The Red Warriors membanjirinya untuk melihat kelibat empat pemain import yang diturunkan buat pertama kali dalam perlawanan tersebut.

Seawal minit ketiga, pasukan Kelantan memulakan ancaman merbahaya menerusi hantaran lintang Mohamad Ab Aziz Ismail namun tandukan Mohammed Ghaddar pula tersasar tinggi di atas pintu gol pasukan T-Team.

Pada m-14 perlawanan, Mohammed Ghaddar menanduk masuk hantaran lintang Mohd Shakir Shaari namun pengadil perlawanan tidak mengesahkan jaringan tersebut setelah beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid terlebih dahulu.

Selang seminit kemudian, Mohammed Ghaddar terlepas peluang sekali lagi untuk menjaringkan gol apabila ‘free header’nya berpunca hantaran cantik Norshahrul Idlan Talaha hanya menerjah jaring sisi sebelah kiri pintu gol pasukan T-Team.

Begitu pun, pasukan T-Team kembali menggandakan asakan dan hampir memperoleh gol pada m-21 perlawanan. Penyerang importnya,  Zacharia Simukonda bijak mencetuskan situasi kelam-kabut didepan pintu gol Kelantan apabila membawa masuk bola ke dalam kotak penalti namun lorongannya kepada Zairo Annuar Zailani gagal menghasilkan gol apabila diselamatkan penjaga gol, Mohd Syazwan Yusoff yang beraksi cemerlang dalam perlawanan malam semalam.

Namun seminit kemudian, pintu gol pasukan T-Team bolos buat kali pertama. Mohamed Ghaddar memadamkan tiga kesilapan awalnya apabila merembat kencang untuk gol pertama Kelantan setelah menerima umpanan jauh daripada pemain sayap, Indra Putra.

Derita pasukan T-Team hampir berpanjangan tiga minit kemudian apabila bekas pemain mereka musim ini, Mohd Norfarhan Muhammad melakukan sepakan separa libas namun sedikit melewati pintu gol mereka.

Malah seminit kemudian, Norshahrul Idlan turut terlepas peluang meletakkan Kelantan lebih selesa didepan apabila rembatannya terkena tiang gol sebelah kanan meskipun pintu gol sudah ternganga angkara kesilapan penjaga gol T-Team, Mohd Iqbal Mohd Suhaimi yang gagal mengeluarkan bola dengan kemas di depan pintu golnya.

Asakan menggila yang terbukti menghiburkan penyokong setia Kelantan kembali berterusan. Kali ini giliran Indra Putra pula menguji apabila berjaya melakukan sepakan ‘first timer’ berpunca sepakan sudut Norfarhan Mohamad tetapi palang gol pula menjadi penghalang.

Meskipun tertekan dengan penguasaan pasukan Kelantan, namun pasukan T-Team turut mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan pada m-37 perlawanan namun tampanan Zacharia diselamatkan Mohd Syazwan di gawang gol Kelantan.

Empat minit bersambung babak kedua, Kelantan terus mengukuhkan kedudukan 2-0 menerusi jaringan Indra Putra. Hantaran pendek Norshahrul Idlan disempurnakan oleh Indra yang bijak menggelecek pemain pertahanan pasukan pelawat sebelum melepaskan rembatan leret menerjah ke penjuru sebelah kanan menewaskan Mohd Iqbal.

Tiga minit kemudian, giliran pemain gantian Mohd Badhri pula mencemaskan pintu gol pasukan pelawat namun rembatan separa libasnya hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol.

Pasukan T-Team sekali lagi terlepas peluang untuk merapatkan kedudukan pada m-55 apabila tandukan Zacharia sedikit tersasar meskipun penjaga gol Kelantan sudah tertewas di gawangnya.

Keghairahan pemain Kelantan terus membara apabila Mohd Norfarhan sempat merembat kencang pada m-66 perlawanan tetapi Mohd Iqbal pantas menampan keluar percubaan tersebut.

Pada m-81 perlawanan, gerakan menarik di antara Mohd Badhri dengan pemain import terbaru Kelantan, Zacharia Charara juga gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan apabila diselamatkan Mohd Iqbal sementara percubaan Emmanuel Ayaah Okine pada minit akhir perlawanan tinggi melewati pintu gol pasukan pelawat.

Dipetik dari : Kelate.Net

Tiada Istilah Skuad Utama.





Barisan 1st eleven menentang T-Team tempohari.


KELANTAN tidak mahu mewujudkan kesebelasan utama dalam pasukan, malah menganggap semua pemainnya layak beraksi sebagai pemain utama menghadapi saingan Liga M musim 2012.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, sebelum menghadapi musim baru, Kelantan perlu membentuk kombinasi pemain mantap dan tidak menjejaskan kualiti persembahan biarpun terpaksa menggunakan pemain simpanan.

Katanya, tidak ada istilah kesebelasan utama kerana semua pemain adalah pemain utama malah mampu mengekalkan corak permainan seimbang meskipun terdapat pertukaran ketika perlawanan.

“Kita mahu melahirkan pemain yang mempunyai kekuatan sama pada musim depan kerana kita tidak mahu kelemahan tanpa seorang pemain menjejaskan rentak permainan.

“Jika ada pertukaran pemain ketika perlawanan, kita mahu pemain yang digantikan itu mengekalkan rentak permainan malah mampu memberikan persembahan lebih baik tanpa menjejaskan kualiti permainan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan menentang T-Team di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, kelmarin.

Pada persahabatan itu, penyerang sensasi Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha (gambar) digandingkan bersama penyerang dari Lubnan, Mohamad Ghadar untuk menguji keserasian dalam perlawanan.

Annuar berkata, kedua-dua penyerang itu masih memerlukan masa bagi mencapai keserasian namun gandingan mereka bakal memberi kejutan.

“Mereka masih mempunyai masa untuk mendapatkan keserasian sebelum liga bermula agar menjadi pasangan digeruni kelak,” katanya.

Kelantan mempamerkan bisanya apabila menundukkan T-Team 2-0 hasil jaringan Mohamad Ghadar dan Indra Putra Mahiyuddin.

Ditulis oleh : Mohd Nor Asri Yaakob
Sumber : myMetro Online - Arena Sukan

Sunday, December 11, 2011

Mat Yo Pening Berkomunikasi.





Mat Yo alami masalah komunikasi dengan Mohammed Ghaddar.


KELANTAN dijangka memiliki dua penyerang berbisa dalam Liga Super musim ini, namun apa yang tampak cacat ketika ini adalah masalah komunikasi.

Semalam, Norshahrul Idlan Talaha akur dia ada masalah berkomunikasi dengan Mohammed Ghaddar kerana pemain import dari Lubnan itu tidak fasih berbahasa Inggeris.

“Setakat ini, saya banyak menggunakan bahasa tubuh untuk mengatur gerak di bahagian serangan daripada berkomunikasi dengan Ghaddar,” kata Pemenang Anugerah SuperMokh itu ketika ditemui pada sesi latihan pasukan Kelantan, di Kota Bharu, kelmarin.

Namun, pemain berasal dari Besut itu tidak menganggap ia satu masalah besar kerana yakin mereka berdua mampu menyesuaikan diri dengan cepat selain dapat mengatasi masalah kesukaran berkomunikasi bagi mencari keserasian di padang.

“Dengan beberapa siri perlawanan persahabatan serta latihan yang diadakan lebih awal, saya harap ia mampu mengatasi masalah kesukaran berkomunikasi dengan pemain import, terutama Ghaddar, sekali gus dapat mencari keserasian dan persefahaman di bahagian serangan pasukan,” katanya.

Norshahrul yang lebih mesra dengan panggilan Mat Yo mengakui masih mencari rentak terutama meningkatkan kemahiran selain memulihkan kecederaan dialaminya sebelum bermulanya saingan Liga Super musim depan.

Selain Ghaddar, Kelantan turut diperkuatkan dua pemain import dari Ghana, Emmanuel Okine dan Denny Antwi selain Zacharia Charara dari Lubnan. Ia juga ke arah cabaran Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim depan.

Dipetik dari : Kelate.Net

Saturday, December 10, 2011

Info Perlawanan Kelantan FA.






Kelantan FA.


Jadual Perlawanan Persahabatan pasukan Kelantan untuk Bulan Disember 2011 : 

Pra Musim 2012 : Kelantan vs T-Team | Friendly Match
Saturday, December 10, 2011 at 8:45 pm at Stadium Sultan Mohamad ke -IV.

Pra Musim 2012 : Kelantan vs Kuala Lumpur | Friendly Match
Sunday, December 25, 2011 at 8:45 pm at Stadium Sultan Mohamad ke -IV.

Pra Musim 2012 : Kelantan vs Terengganu | Friendly Match
Saturday, December 31, 2011 at 8:45 pm at Stadium Sultan Mohamad ke -IV.

* Semua perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke IV.
* Tiket berharga RM10.00 untuk Terbuka, RM 20.00 untuk Astaka.
* Tertakluk kepada perubahan jadual.


Persebaya FC.

Perlawanan persahabatan kelab antarabangsa Piala Persahabatan Malaysia - Indonesia (PERMAI) 2011 : 

Piala PERMAI 2011 : Kelantan FA vs Persebaya FC | Friendly Match
Friday, December 23, 2011 at 8:45 pm at Stadium Sultan Mohamad ke -IV.

Piala PERMAI 2011 : Persebaya FC vs Kelantan FA | Friendly Match
Wednesday, December 28, 2011 at 7:00 pm at Stadium Gelora Bung Karno.

* Kemungkinan perlawanan ini akan disiarkan di stesen TV Indonesia.
* TSAM sedang berunding dengan pihak ASTRO untuk siaran langsung.


Piala AFC 2012.

Jadual perlawanan bagi pasukan Kelantan FA dalam saingan Piala AFC 2012 peringkat Kumpulan H :

Piala AFC 2012 : Kelantan FA vs Navibank Saigon | 1st leg
Wednesday, March 7, 2011 at 8:45 pm at Stadium Sultan Mohamad ke -IV.

Piala AFC 2012 : Ayeyawady United vs Kelantan FA | 1st Leg
Wednesday, March 21, 2012 at 8:00 pm at Pathein Stadium.

Piala AFC 2012 : Kelantan FA vs Arema Indonesia | 1st Leg
Saturday, April 3, 2011 at 8:45 pm at Stadium Sultan Mohamad ke -IV.

Piala AFC 2012 : Arema FC vs Kelantan FA | 2nd Leg
Tuesday, April 10, 2012 at 7:00 pm at Kanjuruhan Stadium.

Piala AFC 2012 : Navibank Saigon vs Kelantan FA | 2nd Leg
Tuesday, April 24, 2012 at 8:00 pm at Thống Nhất Stadium.

Piala AFC 2012 : Kelantan FA vs Ayeyawady United | 2nd Leg
Tuesday, May 8, 2011 at 8:45 pm at Stadium Sultan Mohamad ke -IV.

* Venue perlawanan Home bagi pasukan Kelantan masih belum ditentukan.
* Venue pilihan sekarang ialah Stadium Nasional Bukit Jalil.
* Masa bagi semua perlawanan masih belum ditetapkan.

Ditulis oleh : Nick Hafiz
Sumber : Tan Sri Annuar Musa, KelantanFA.com

Friday, December 9, 2011

Jadual Piala AFC 2012 Kelantan FA.





Piala AFC 2012.


Jadual Piala AFC 2012 untuk pasukan Kelantan :

Pusingan Pertama

07 March 2012 : Kelantan FA vs Navibank Saigon
21 March 2012 : Ayeyawady United FC vs Kelantan FA
03 April 2012 : Kelantan FA vs Arema Indonesia

Pusingan Kedua

10 April 2012 : Arema Indonesia vs Kelantan FA
24 April 2012 : Navibank Saigon vs Kelantan FA
08 May 2012 : Kelantan FA vs Ayeyawady United FC

Ditulis oleh : Nick Hafiz

Persebaya FC Uji Kehebatan Kelantan.





Persebaya FC.


JUARA Liga Super musim ini, Kelantan akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang kelab Liga Prima Indonesia, Persebaya FC, bagi merebut trofi Yayasan Persahabatan Malaysia-Indonesia (Permai) di Kota Baharu, Kelantan, pada 23 Disember ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) merangkap Setiausaha Agung Permai, Tan Sri Annuar Musa (gambar) berkata, perlawanan itu yang diadakan secara timbal balik akan diadakan di Surabaya, Indonesia pada 28 Disember pula.

“Berikutan itu, perlawanan (persahabatan) antara The Red Warriors menentang Kuala Lumpur akan diubah ke 25 Disember,” katanya.

Perlawanan itu adalah persediaan awal skuad Kijang untuk menghadapi saingan Liga Super musim depan termasuk perlawanan merebut Piala Sumbangsih menentang juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV pada 7 Januari.

Annuar berkata, perlawanan itu anjuran bersama Liga Prima Indonesia dan Malaysia Super League (MSL) serta dipersetujui Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Perlawanan itu akan disiarkan stesen televisyen di Indonesia manakala Permai akan berunding dengan stesen televisyen berbayar, Astro untuk disiarkan di Malaysia,” katanya.

Ditulis oleh : Wartawan Harian Metro
Sumber : myMetro Online - Arena Sukan

Kafa Mula Resah Isu Stadium Untuk AFC.





Tahap pencahayaan & papan markah elektronik SSMIV tidak menepati piawaian AFC.


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) menaruh harapan tinggi agar perlawanan pada Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dapat dilangsungkan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu pada Mac tahun depan.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, meskipun peluang untuk beraksi di tempat sendiri agak tipis berikutan beberapa kemudahan di stadium yang telah berusia 44 tahun itu gagal memenuhi syarat AFC bagi melangsungkan kejohanan berkenaan, namun beliau masih menaruh harapan impian tersebut tercapai.

"Seboleh-bolehnya saya mahu Kejohanan AFC berlangsung di Kota Bharu. Tetapi persoalannya bolehkah kita bermain di sini memandangkan kita masih tidak dapat memenuhi pelbagai syarat yang diletakkan oleh pihak AFC.

"Saya dimaklumkan oleh Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim, banyak soalan yang perlu kita isi pada borang AFC, namun sukar untuk kita jawab. Misalnya bolehkah tahap pencahayaan stadium kita mencapai 1,200 lux sedangkan ketika ini hanya sekitar 800 lux sahaja.

"Begitu juga dengan scoreboard (papan markah elektronik) yang sampai sekarang tidak dibuat sejak setahun lalu.

"Memang kita dukacita, bukannya isu besar pun soal scoreboard tetapi sampai sekarang gagal dipasang. Saya akan minta Setiausaha Agung kemukakan rayuan kepada pihak AFC," katanya.

Dalam majlis undian Kejohanan AFC yang berlangsung di ibu negara tiga hari lalu, Kelantan selaku juara Liga Super musim ini diundi dalam Kumpulan H bersama dengan tiga lagi pasukan iaitu Navibank Saigon (Vietnam), Arema Malang FC (Indonesia) serta Ayeyawady United FC dari Myanmar.

Menjawab maklum balas pihak kerajaan negeri mengenai perkara tersebut, Annuar enggan mengulas lanjut, sebaliknya meminta pihak media menanyakan sendiri perkara tersebut kepada pihak berkenaan.

"Saya tidak mahu komen lebih lanjut. Yang saya tahu kita kena ada stadium kerana orang Kelantan hendak tengok bola. Kalau tidak ada pilihan, mungkin kita terpaksa cari stadium lain seperti Stadium Nasional di Bukit Jalil atau Stadium Shah Alam," jelasnya.

Sementara itu mengulas mengenai kontroversi yang melanda penjaga gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che Mat, Annuar menganggap itu sebahagian daripada proses biasa yang terpaksa dilalui oleh seseorang yang mula mendapat populariti ketika ini.

"Saya fikir itu merupakan satu proses yang biasa, apatah lagi dengan kewujudan pelbagai ruang alam maya seperti Facebook dan Twitter ini. Beliau perlu bijak menangani sendiri setiap isu yang melandanya.

"Dia ada keluarga, ada majikan, ada negeri. Yang pasti dia perlu jaga nama baik ketiga-tiga itu. Saya memang bercadang untuk berjumpa dengan beliau sekeluarga selepas ini," ujarnya.

Ditulis oleh : Khairi Mohamad
Sumber : Kosmo! Online - Sukan

Thursday, December 8, 2011

Info Pasukan Kelantan FA.





Kelantan FA.


Jadual Perlawanan Persahabatan Kelantan untuk Bulan Disember 2011 : 

10 Disember 2011 : Kelantan vs T-Team
25 Disember 2011 : Kelantan vs Kuala Lumpur
31 Disember 2011 : Kelantan vs Terengganu

* Semua perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke IV
* Tiket kemungkinan berharga RM10.00
* Tertakluk kepada perubahan jadual

Info Terbaru : Kelantan akan mengadakan perlawanan International Club (Yayasan Persahabatan Malaysia – Indonesia – Permai Troph ) menentang kelab Persebaya Indonesia pada 23 Disember 2011 di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu dan 28 Disember 2011 di Surabaya, Indonesia. Kemungkinan perlawanan ini akan disiarkan di stesen TV Indonesia.

Perlawanan ditempat Lawan Piala AFC 2012 :

Piala AFC 2012 : Navibank Saigon vs Kelantan | Group H
Tuesday, April 24, 2012 at 8:00 pm at Thống Nhất Stadium.
Piala AFC 2012 : Arema FC vs Kelantan | Group H
Tuesday, April 10, 2012 at 7:00 pm at Kanjuruhan Stadium.
Piala AFC 2012 : Ayeyawady United vs Kelantan | Group H
Wednesday, March 21, 2012 at 8:00 pm at Pathein Stadium.

Ditulis oleh : Nick Hafiz
Dipetik dari : KelantanFA.com

Wednesday, December 7, 2011

Struktur Liga M Bakal Dirombak.





Datuk Azzudin Ahmad, Setiausaha Agung FAM.


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) kini sedang mengkaji untuk mengurangkan bilangan pasukan Liga Super yang kini disertai 14 pasu­kan negeri dan kelab. Struktur liga utama bola sepak kebangsaan itu berkemungkinan akan dirombak sekali lagi bagi meningkatkan martabat liga bola sepak negara ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang mengesahkan perkara tersebut berkata, ia masih dalam peringkat perbincangan. “Kita akan mengurangkan pasu­kan dan akan dibincang di peringkat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM untuk menentukan perkara tersebut,” katanya.

Untuk rekod, bagi musim ini sebanyak 14 pasukan telah menyertai saingan Liga Super seperti Kelantan, Terengganu, Selangor, Kedah, Harimau Muda A, Perak, Johor FC, Negeri Sembilan, T-Team, Sabah, Felda United, Kuala Lumpur dan Pahang serta Perlis sejak pertama kali diperkenalkan pada 2004.

Sementara itu, diminta mengulas lanjut sama ada akan melanjutkan tarikh tutup pendaftaran pemain import bagi saingan Liga Super 2012 pada 8 Disember, Azzuddin menegaskan FAM tidak akan bertolak ansur kerana tempoh yang diberikan sejak Ogos lalu sepatutnya sudah dipenuhi setiap pasukan.

“FAM telah memberi masa yang cukup kepada setiap pasukan untuk menyediakan segala keperluan yang ditetapkan untuk pendaftaran pasu­kan,” katanya.

Enggan menunding jari mana-mana pihak, Azzuddin membidas pengurusan pasukan perlu lebih profesional dan sistematik kerana tarikh tersebut telah dimaklumkan lebih awal.

“Ini kerana setiap tahun masih masalah yang sama iaitu memohon rayuan untuk lanjutkan tarikh tutup dengan alasan kesuntukan masa,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pasukan yang gagal mendaftar sehingga tarikh tutup esok, JKPT akan menasihatkan mereka boleh berbuat demikian pada pendaftaran kali kedua pada 6 hingga 20 April 2012.

“Kita tidak boleh lanjutkan lagi kerana ia akan menjejaskan persiapan sekretariat untuk penjadualan perlawanan dan lain-lain,” katanya.

Ditulis oleh : Intan Athirah Rebuwang
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

Sunday, December 4, 2011

Manfaat Peluang Liga Musim Depan.







Tonggak pertahanan Harimau Muda Mahali Jasuli.


KUALA LUMPUR - Pemain pertahanan Harimau Muda A, Mahalli Jasuli menggesa rakan sepasukan untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang bermain di Liga Singapura sebagai pertukaran dengan Young Lions yang akan beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Pemain berusia 22 tahun dari Selangor itu berkata peluang berkenaan harus digunakan sebaik mungkin oleh pemain skuad kendalian Ong Kim Swee itu kerana liga berkenaan turut disertai oleh beberapa pasukan luar seperti dari negara Thailand, Kemboja dan Australia.

"Kita dapat pengalaman baru kerana peluang sebegini jarang diperolehi oleh pemain-pemain muda seperti kami (pemain Harimau Muda A)," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada pelancaran bola rasmi Kejohanan Euro 2012, Adidas 'Tango 12' di sini, hari ini.

Skuad tersebut akan memulakan latihan pusat pada Isnin ini dan dijangka bertolak ke Australia pada 10 Dis ini untuk mengadakan tiga perlawanan persahabatan dengan tiga kelab liga tersebut dari 10-22 Dis.

Perlawanan tersebut merupakan persiapan awal sebelum skuad tersebut menyertai Liga Singapura dan persediaan menghadapi baki tiga perlawanan kelayakan Olimpik 2012 Februari depan menentang Syria, Bahrain dan Jepun.

Mahalli, yang pernah berlatih dengan kelab Slovakia, FC Vion selama tiga bulan, berkata beliau akan menggunakan pengalaman tersebut untuk dimanfaatkan dalam liga tersebut.

"Untuk liga tersebut, kita akan kekal di Kuala Lumpur dan setiap minggu akan berulang alik untuk beraksi di Singapura dan ia tidak jadi masalah kerana setiap pemain sudah banyak kali bermain di luar negara," katanya sambil berjanji akan memberikan aksi terbaik pada liga itu nanti.

Mengulas mengenai ketiadaan pemain-pemain skuad tersebut yang berhijrah ke negeri lain musim depan, Mahalli berkata ia merupakan satu peluang terbaik kepada pemain dari pasukan Harimau Muda B untuk mempamerkan aksi terbaik mereka kepada Kim Swee.

"Kita lihat pasukan dari Harimau Muda B umpamanya mempunyai pemain yang berpotensi dan inilah peluang mereka untuk membuktikan sesuatu bahawa mereka juga mempunyai kualiti yang tersendiri," katanya.

Sehingga kini, tiga pemain tidak akan beraksi dengan Harimau Muda A kerana telah melebihi usia 23 tahun tahun depan iaitu Mohd Muslim Ahmad yang menyertai Terengganu, K. Gurusamy (Selangor) dan Mohd Zamir Selamat yang berhijrah ke Johor FC.

Oleh : Bernama
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Harimau Malaya