Thursday, October 27, 2011

Spekulasi Perpindahan Pemain TRW Reda.




Kekal bersama TRW 2012.

SPEKULASI penghijrahan beberapa tonggak utama Kelantan - Khairul Fahmi Che Mat, S. Chanturu, Mohd. Rizal Fahmi Rosid serta kapten, Mohd. Badri Radzhi akhirnya reda. Semalam, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengesahkan keempat-empat pemain terbabit akan terus menyarung jersi Kelantan musim depan.

KAFA turut mengesahkan beberapa lagi pemain - Mohd. Shahrizan Ismail, S. Subramaniam, Mohd. Farisham Ismail, Mohd. Nizab Ayub, Mohd. Shakir Shaari, Mohamad Ab. Aziz Ismail, Mohd. Daudsu Jamaluddin, Muhammad Ramzul Zahini Adenan, Zairul Fitree Ishak, Nurul Azuan Roya serta peledak berbisa, Norshahrul Idlan Talaha akan kekal bersama juara Liga Super itu.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, pengumuman tersebut terpaksa dibuat lebih awal untuk mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan persiapan pasukan untuk menghadapi cabaran yang lebih besar musim hadapan. Menurutnya, keputusan untuk mengekalkan 15 pemain tersebut dibuat berdasarkan aksi dan persembahan yang dipamerkan mereka sepanjang beraksi dengan Kelantan musim ini.

"Keputusan ini diambil untuk mengelakkan pasukan yang ingin memancing pemain Kelantan mengetahui mereka masih mempunyai baki kontrak bersama The Red Warriors. Untuk makluman kesemua pemain itu sudah menandatangani kontrak bersama The Red Warriors.

"Baki sepuluh pemain lagi diisi oleh lima pemain tempatan (dari luar Kelantan) serta tiga tenaga import dan dua pemain skuad Piala Presiden Kelantan yang didaftarkan untuk beraksi bersama pasukan Liga Super iaitu Zamri Ramli dan Nik Mohd. Shahrul Azim Nik Ab. Halim," jelas Annuar.

Annuar berkata, pihaknya juga masih mengadakan rundingan dengan lima pemain tempatan dari luar Kelantan sedang berjalan dan empat daripadanya sudah bersetuju untuk bersama The Red Warriors.

"Buat masa ini, KAFA belum berhasrat untuk mengumkan siapakah pemain tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Annuar memberitahu, KAFA telah bersetuju untuk melepaskan sepuluh pemainnya untuk beraksi bersama pasukan baharu bagi saingan musim hadapan. Antara pemain yang dilepaskan ialah Norhadi Ubaidillah, Wan Rohaimi Wan Ismail, Wan Zaman Wan Mustapha, Khairan Eruan Razali, Khairan Eroza Razali, Khalid Jamlus, Solehin Kanasian Abdullah, Daniel Fadzly Abdullah dan Zul Yusri Che Harun, manakala penjaga gol veteran, Mohd. Halim Napi mengambil keputusan untuk bersara daripada arena bola sepak.

"Keputusan untuk melepaskan pemain itu dibuat lebih awal bagi membolehkan mereka mencari pasukan baharu untuk beraksi musim hadapan dan untuk itu, KAFA bersedia membantu pemain terbabit," ujarnya.

Mengulas mengenai pemain import, Annuar berkata, beliau memberikan tempoh sehingga akhir bulan ini buat ketua jurulatih, Peter James Butler untuk memilih pemain.

"Saya memberikan kebebasan sepenuhnya kepada beliau (Butler) untuk membuat pemilihan dan kita berharap senarai pemain import dan keseluruhan pasukan dapat dilengkapkan sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha.

"Sebaik sahaja kesemuanya selesai, kita akan memulakan sesi latihan sebagai persediaan awal sebelum bermulanya saingan liga musim hadapan," katanya.

Foto by : Mark Deen
Sumber : Kosmo! Online - Sukan

Monday, October 17, 2011

Kelantan Tetap Dihatiku Selamanya.




Selamanya The Red Warriors !!!

Tahniah kepada semua pemain Terengganu yang cemerlang menjalankan tugas masing-masing dan terima kasih kepada semua pemain Kelantan yang bermati-matian cuba untuk mencari kemenangan namun ternyata nasib tidak menyebelahi mereka. Satu perlawanan bolasepak yang hebat dalam sejarah bolasepak Malaysia. Musnah impian The Red Warriors ke peringkat seterusnya tidak bermakna seluruh penyokong Kelantan harus melupakan segala hasrat yang dirancang untuk musim depan. 

Musim depan banyak tugasan yang bakal dilalui Kelantan selaku pasukan dalam Liga Malaysia 2012 dan pasukan yang akan beraksi dalam saingan Piala AFC 2012. Keputusan malam tadi menepati ramalan Tan Sri Annuar Musa yang menjangkakan misi sukar untuk Kelantan mempertahankan Piala Malaysia setelah kehilangan mengejut tiga pemain harapannya, sehinggalah Kelantan dilupakan dengan pencapaian membanggakan oleh barisan pemain yang ada. 

Para penyokong setia akan terus memerikan sokongan padu kepada
skuad The Red Warriors...!!!

Sabar dan tahniah kepada pengurusan The Red Warriors yang sentiasa bertungkus lumus untuk memastikan kejayaan Kelantan sehingga berjaya merangkul Piala Sumbangsih, juara Liga Super dan naib juara Piala FA. Sudah menjadi lumrah bolasepak setiap kali berlaku kekalahan mulalah dikaitkan dengan cerita rekaan kejuaraan dirancang dan mitos rasuah tanpa mengusulkan sebarang bukti yang kukuh untuk pendakwaan bagi melenyapkan terus cerita rasuah atau kejuaraan dirancang daripada terus berulang, mereka cukup sekadar menyakinkan orang ramai dengan teori idealogi mereka. 

Dalam bolasepak ramai umat Islam mudah lupa dengan kekuasaan yang Maha Esa apabila diuji dengan kemenangan, mereka bersyukur dan yakin kepada Allah tetapi apabila diuji dengan kekalahan, mereka yang sentiasa manis menyebut kalimah pun boleh mencipta fitnah bagi memuaskan hati yang terluka.

Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2011 : Selangor [0] vs [2] Kelantan | Stadium Shah Alam.

Inilah masanya untuk kita bermuhasabah diri daripada terus riak dan takbur dengan mendabik dada hanya pemain Kelantan sahaja yang terbaik dan Kelantan tidak boleh kalah serta hanya dari Kelantan sahaja yang hebat itu dan ini sehingga pasukan dan pemain lain sering diperlekehkan setiap kali mereka menyarung jersi Malaysia atau beraksi menentang Kelantan. 

Kegagalan ini amat berharga bagi seorang tokoh tranformasi bolasepak seperti Tan Sri Annuar Musa yang tidak pernah kenal erti jemu dalam mengurus bolasepak Kelantan yang penuh cabaran ini. Kegagalan awal ini memberi peluang kepada Tan Sri Annuar dan pihak pengurusan KAFA mencari bakat yang mantap dan menyusun strategi rapi dalam mengharungi saingan musim depan berbanding tahun ini dimusnahkan  pada saat-saat akhir sebelum bermula Liga Super 2011.

Kesebelasan utama The Red Warriors terbaik sepanjang tahun 2011.

Namun keputusan malam  tadi juga diharap dapat menjadi pengajaran berguna kepada ketua jurulatih Kelantan yang dilihat sentiasa mengekalkan 80% barisan pemain yang sama sejak sepak mula Piala Malaysia dan insiden kad merah di Terengganu berjaya membuka mata semua bahawasanya Kelantan tiada pemain gantian yang berwibawa atau yang kerap diturunkan dalam keserasian bersama kesebelasan utama. 

Oleh itu tidak hairanlah jika pemain senior seperti Khalid Jamlus, Danial Fadhly dan Wan Rohaimi tidak segah bekas pemain senior yang digilap Kelantan seperti Akmal Rizal dan Hairuddin Omar yang masih beraksi cemerlang bersama pasukan baru mereka. Tiada apa yang lebih bermakna dalam bolasepak selain kesetiaan dan keyakinan penyokong sejati kepada pasukan kesayangan mereka ini. Mereka sokong bukan semasa berada di kemuncak sahaja malah turut jatuh dan bangun bersama pasukan selamanya. 

Separuh Akhir 1 Piala FA 2011 :  Selangor [1] vs [5] Kelantan | Stadium Shah Alam.

Walauapapun keputusannya akan terbukti selepas ini Piala Malaysia akan hilang seri dan kemeriahan tanpa penyokong The Red Warriors. Tahniah dan terima kasih kepada seluruh penyokong The Red Warriors yang sentiasa memberi sokongan padu pada pasukan dan menghidupkan bolasepak Malaysia daripada kesunyian tanpa penyokong sejati seperti anda. Pilihan stadium Shah Alam sebagai gelanggang final sememangnya sesuai untuk pasukan lain dan bernasib baik Kelantan gagal kerana sebesar stadium Bukit Jalil pun sukar menampung kehadiran penyokong setia Kelantan, inilah antara ayat diharap mampu mengubat kedukaan ini.



TAHNIAH DAN SYUKUR KERANA ANDA MASIH LAGI ANAK KELANTAN DAN MENYAYANGI PASUKAN KELANTAN. GOMO KELATE GOMO...KELATE HEBAT SOKMO...KELATE GO TO ASIA 2012. 
GAGAL HARI INI TIDAK BERERTI KITA GAGAL SELAMANYA.

Sokong Bia Bijok, Napok Bijok, Betindok Bijok, Main Bijok, Bijok Sokmo
Gomo Kelate Gomo !!!



Foto : Haniff Omar, Shazli Shamsuddin
Graphic Wallpaper : Ultras Kelantan-The Red Mania
Sumber : Portal Rasmi KAFA

Sunday, October 16, 2011

Tamat Sudah Perjuangan TRW.



Tiga piala untuk tahun 2011.

Berakhirlah sudah perjuangan Kelantan The Red Warriors untuk tahun 2011 setelah dinokhtahkan oleh jiran pantai timur iaitu Terengganu dalam saingan suku akhir Piala Malaysia 2011. Walaupun perit, namun terpaksa ditelan jua oleh penyokong – penyokong setia The Red Warriors bahawa pasukan mereka telah ditunjukkan jalan keluar lebih awal dan gagal mempertahankan mahkota kejuaraan musim lalu. Apakan daya sudah tersurat, perjuangan The Red Warriors hanya sampai di sini sahaja untuk tahun 2011.

Banyak kenangan pahit manis, suka dan duka dicipta pada tahun 2011. The Red Warriors memulakan saingan Liga Malaysia 2011 dengan penuh bergaya apabila menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah dalam perlawanan sumbangsih dengan mengalahkan Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam, Selangor. Walaupun persiapan pra musim tidaklah begitu sempurna, namun The red Warriors mampu mencipta kejutan dengan menewaskan Selangor. Kemenangan itu sekaligus memberikan tiga mata pertama untuk skuad The Red Warriors dalam Liga Super 2011.

Dalam saingan Piala FA pula, The Red Warriors hampir mencatat sejarah untuk menjulang Piala FA buat kali pertama, namun gagal apabila dikejutkan dengan “Comeback” dari pasukan Terengganu dan sekaligus membuatkan The Red Warriors terus kempunan untuk menjulang mahkota kejuaraan Piala FA 2011 buat kali pertama. Kekecewaan pertama kali buat penyokong – penyokong setia The Red Warriors namun berjaya diterima dengan hati yang terbuka oleh semua penyokong, “kalah menang adat bertanding” kata – kata itulah yang disemai dihati setiap penyokong setia The Red Warriors.

Kapten, Piya kecewa setelah Kelantan tewas dalam final Piala FA 2011.

Kekecewaan terlepas Piala FA berjaya diubati apabila skuad The Red Warriors menjulang mahkota kejuaraan Liga Super buat pertama kali dalam sejarah bola sepak Kelantan setelah mencatat kemenangan ke atas Sabah 2-1 dilikas dengan mengumpul 56 mata meninggalkan Terengganu ditempat kedua yang mengumpul 53 mata dan Selangor di tempat ketiga dengan mengumpul 52 mata. Ini sekaligus membuktikan The Red Warriors adalah merupakan pasukan yang konsisten dalam Liga Malaysia 2011.

Juara Liga Super 2011.

Namun dalam saingan Piala Malaysia 2011, walaupun dilabel sebagai pasukan pilihan untuk mara ke perlawanan akhir, The Red Warriors gagal meneruskan kemaraan setelah disekat oleh Terengganu di peringkat suku akhir sekaligus gagal mempertahankan kejuaraan musim lalu. Kegagalan ini bukan bermakna gagal selamanya, dan tidak mustahil tahun 2012 nanti The Red Warrios akan bangkit dan seterusnya muncul sebagai kuasa baru bola sepak di Asia Tenggara apabila layak bertanding dalam saingan Piala AFC 2012 dengan tiket selaku Juara Liga Super 2011. Akhir kata dari penulis, Sokong Bia Bijok, Napok Bijok, Betindok Bijok, Main Bijok, Bijok Sokmo...Gomo Kelate Gomo...!!!

Piya terduduk setelah Kelantan gagal mara
ke separuh akhir Piala Malaysia 2011.

Anda boleh rampas segala - galanya, tetapi bukan semangat kami...!!!

Selamanya The Red Warriors ...!!! Selamanya Ultras Kelantan - The Red Mania...!!!

Selamanya The Red Warriors !!! Selamanya The Red Mania !!!

Graphic Wallpaper : Oren Kecik
Foto : Wawan Faiz, Shazli Shamsuddin
Ditulis oleh : Nick Hafiz


Thursday, October 13, 2011

Cegah Sebarang Insiden Buruk.




KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mempertingkatkan tahap kawalan keselamatan bagi mencegah daripada berlakunya sebarang insiden buruk dalam pertemuan suku akhir kedua Piala Malaysia, di antara Kelantan menentang Terengganu di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam esok. 

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa (gambar) berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan khusus dengan pihak keselamatan bagi memastikan perlawanan sengit di antara kedua-dua pasukan itu dapat dilangsungkan dengan lancar tanpa insiden buruk berlaku. 

“Pemeriksaan rapi akan dilakukan ke atas setiap penyokong yang memasuki stadium bagi memastikan tidak ada sebarang bahan terlarang seperti botol minuman, mercun dan bunga api dibawa masuk yang mana boleh mengganggu dan mencederakan orang ramai. 

“Selain itu, anggota keselamatan yang berpakaian biasa juga akan ditempatkan di dalam kawasan stadium sebagai langkah pencegahan untuk mengelakkan berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini. Untuk mengelakkan berlakunya kesesakan, pintu masuk stadium akan dibuka seawal jam enam petang. 

“Kita minta para penyokong Kelantan berikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa. Jangan cetuskan provokasi dan berikan sokongan dengan semangat kesukanan yang tinggi. Khidmat anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) juga turut dikerah bagi memantau sepanjang perlawanan ini,” katanya. 

Dalam perkembangan yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan, Kawalan Pintu dan Tiket Kafa, Datuk Othman Zakaria berkata, tiket perlawanan membabitkan pertemuan suku akhir kedua ini akan dijual hari ini bermula jam sembilan pagi. 

“Kita memutuskan jualan tiket dilakukan sehari awal (hari ini) sebelum perlawanan bagi membolehkan para peminat mendapatkannya lebih awal. Sekiranya tidak habis dijual, kita akan menjual pada hari perlawanan tersebut (Jumaat). 

“Peminat boleh mendapatkan tiket di kaunter tiket perkarangan stadium. Untuk pemegang tiket tempat duduk astaka, kita nasihatkan mereka tidak membawa anak mereka memandangkan tempat duduk adalah terhad. 

“Kafa memperuntukkan 20,000 keping tiket dijual untuk perlawanan ini. Sehubungan itu saya berharap para penyokong tidak panik untuk mendapatkan tiket tersebut. Nasihat saya jangan beli daripada ulat sebaliknya beli terus di kaunter yang kita tetapkan,” katanya. 

Menurut Othman, pihaknya turut menyediakan ruang untuk para penyokong menunaikan solat di dalam stadium. Pihak Kafa menetapkan harga tiket bagi perlawanan ini ialah RM5 untuk kanak-kanak, RM15 (tempat duduk terbuka), RM20 (astaka dua) dan RM30 bagi tempat duduk astaka utama.


Sumber : Sinar Harian Edisi Kelantan - Sukan

Tuesday, October 11, 2011

90 Minit Penuh Aksi Panas.




KUALA TERENGGANU – Terengganu berjaya memanfaatkan sepenuhnya permainan di laman sendiri apabila berjaya mengetepikan seteru utamanya Kelantan 3-1 dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia 2011 yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, malam tadi. Pertemuan dua seteru utama itu, menyaksikan lima kad merah dan 10 kad kuning dikenakan kepada pemain kedua-dua pasukan. 

Kehadiran ribuan penyokong kedua- dua pasukan seolah-olah mengulangi perlawanan akhir Piala FA musim lalu, meskipun perlawanan baru melangkah ke perlawanan suku akhir pertama. Memulakan babak pertama perlawanan, kedua-dua pasukan beraksi agresif apabila saling menggandakan asakan ke pintu gol lawan masing-masing. 

Pemain tambatan Terengganu, Joseph Kalang Tie, hampir menghadiahkan gol awal kepada tuan rumah, namun rembatan derasnya dalam kotak penalti pada minit ke-10 sekadar melewati palang gol. Gawang gol pelawat sekali lagi teruji apabila Abdul Manaf Mamat hampir memberi gol, namun rembatan lemah pada minit ke-29 dalam kawasan kotak penalti berjaya disambut kemas Khairul Fahmi Che Mat.

Aksi dengan sembilan pemain 

PEMAIN pasukan pelawat, Mohd Shakir Shaari menjadi pemain pertama yang diarah keluar padang setelah mengasari pemain Terengganu pada minit 31. Selang tiga minit selepas itu, pasukan pelawat sekali lagi diuji apabila Mohd Daudsu Jamaluddin dikenakan kad merah, di mana menyaksikan pasukan The Red Warriors terpaksa bermain dengan sembilan pemain.

Kelantan yang ternyata tidak menunjukkan aksi tempang, walaupun terpaksa bermain dengan sembilan pemain, apabila terus melakukan beberapa percubaan berbahaya di kawasan gol pasukan tuan rumah. Ismail Faruqi ternyata bijak memanfaatkan peluang apabila hantaran kemas Abdul Manaf Mamat berjaya ditolak kemas ke pintu gol pelawat pada minit ke-43.

Aksi panas kedua pasukan berlarutan apabila Ismail Faruqi Asha’ari dikenakan kad merah setelah menolak Norshahrul Idlan Talaha pada masa kecederaan. Keputusan itu kekal hingga ke minit terakhir separuh masa pertama.

Memulakan babak kedua, pasukan pelawat yang nyata tertekan, cuba menggandakan asakan dengan melakukan beberapa percubaan berbahaya, namun tersasar jauh dari pintu gawang, namun Kelantan akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan apabila berjaya menghasilkan gol menerusi tendangan penalti pada minit ke-78 yang diambil ketua pasukan, Mohd Badri Radzi.

Tersentak dengan jaringan penyamaan itu, tuan rumah menggandakan asakan dan hasilnya Abdul Manaf Mamat berjaya menambah jaringan tuan rumah apabila sepakan penalti pada minit ke-88 terus meluru masuk ke pintu gol. Kapten Terengganu, Mohd Marzuki Yusof menambah derita pasukan pelawat, apabila menghasilkan gol ketiga tuan rumah pada masa kecederaan. Terengganu melangkah selesa untuk aksi kedua timbal balik di Kelantan 14 Oktober ini.


Sumber : Sinar Harian Edisi Kelantan - Sukan

Monday, October 10, 2011

Debaran Kian Terasa.




"Misi Mencari Sebuah Kehormatan"

Bahang saingan suku akhir pertama Piala Malaysia 2011 malam ini di antara Kelantan dan Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah, Kuala Terengganu sudah pasti mendebarkan para peminat & penyokong kedua – dua pasukan. Apakan tidaknya, perlawanan ini menemukan antara Juara Piala FA 2011 & Juara Liga Super 2011 dan boleh diibaratkan sebagai ulangan perlawanan akhir Piala FA tempohari di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Sudah pastinya dendam yang membara buat pasukan Kelantan untuk menebus kekalahan di pentas final tempohari menjadi penyuntik semangat untuk membenam cabaran sang penyu sekaligus membawa bekalan selesa ke Kota Bharu nanti. Bagi sang penyu pula, kekalahan 0 - 3 kepada Kelantan di hadapan penyokong sendiri Julai lalu di Kuala Terengganu sudah pasti menjadi tonik buat mereka untuk kembali membalas dendam.

Kedua – dua pasukan dari pantai timur ini mempunyai misi masing – masing untuk dicapai dalam perlawanan penting malam ini. Saingan sengit juga bakal mendebarkan para penyokong masing – masing mengimpikan pasukan mereka layak ke peringkat separuh akhir. Apa – apapun kepada kedua – dua penyokong, sokonglah pasukan anda dengan bijak dan penuh dengan semagat kesukanan yang tinggi.

Bagi penulis, perlawanan pada malam ini sudah pastinya menjadi pengalaman berharga apabila akan berkunjung ke stadium keramat sang penyu yang sudah pastinya dikawal ketat oleh “The White Troopers”. Mampukah The Red Warriors menewaskan The White Troopers, sama – sama kita nantikan malam ini. Sokong Bia Bijok, Napok Bijok, Betindok Bijok, Main Bijok, Bijok Sokmo...Gomo Kelate Gomo...!!!


Ultras Kelantan - The Red Mania.

Berjuanglah...!!! Pahlawanku...!!!
Satukanlah Tekad Semangatmu...
Kami Rela...
Korban Nyawa...
Demi Daulat Negeri Tercinta....

Foto : Wawan Faiz
Graphic Wallpaper : Ultras Kelantan - The Red Mania
Ditulis Oleh : Nick Hafiz

Saturday, October 8, 2011

Aksi Apex Longlai.



Apex.

PENJAGA gol utama skuad Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat aka Apex seakan longlai ibarat terkejut dengan serangan bertali arus pemain handalan bertaraf bintang, Australia pada aksi perlawanan persahabatan apabila dibelasah 5-0, semalam. 

Jika sebelum ini, hero Harimau Malaya itu bertindak cemerlang pada pertemuan berdepan Jepun pada saingan kelayakan Sukan Olimpik London 2012 baru-baru ini. Namun, kehebatan Apex selaku penjaga gol terbaik negara tercalar di Canberra. 

Di separuh babak pertama sahaja, Apek seolah-olah kaku, apabila melepaskan empat gol lawan, mungkin kerana masih terkedu dengan jaringan yang menerjah terlalu awal sebaik perlawanan baru berlangsung tiga minit. 

Namun, sebaik babak kedua bermula, Apex seperti mendapat tonik baru, berjaya menangkis beberapa serangan berbahaya lawan, sekali gus melegakan jutaan penyokong di negara ini. 

Bagaimanapun, kelalaian jentera pertahanan negara, menambah derita Malaysia yang terpaksa menyeka air mata sendiri menyaksikan keghairahan Australia berpesta jaringan di Canberra meraikan gol kelima.

Psst : Penulis rasa Apex tidak longlai, tetapi barisan pertahanan yang longlai dalam mengawal benteng semasa perlawanan semalam.... ('',)


Sumber : Sinar Harian Online - Sukan

Songkhla FC Tundukkan Kelantan.



Chikondi Mpulula.

Jaringan awal dari pemain berstatus import dari Malawi, Chikondi Mpulula pada saat ke 29 perlawanan bukan 1 jaminan untuk menundukkan Songkhla FC apabila skuad kendalian bekas pemain Kelantan, Worawoot T. Srimaka bangkit pada babak kedua untuk memastikan kemenangan selesa.3-1 di Stadium Sultan Mohamed ke IV malam tadi. 


Pada babak pertama perlawanan, pasukan Kelantan dilihat banyak mengasak pihak lawan apabila 2 orang penyerang import Kelantan, Chikondi Mpulula dan Denny Antwi dilihat banyak menguji barisan pertahanan Songkhla FC, namun gagal menyudahkannya beberapa peluang yang terhidang.

Bahagian pertahanan pasukan kelantan dilihat agak kebal kerana setiap asakan berjaya disekat oleh Kapten pasukan Kelantan, Rizal Fahmi yang bergandingan dengan pertahanan import tinggi lampai, Jocip Bonacin dari Crotia. Jocip kerap kali berjaya mematahkan serangan balas yang dilancarkan oleh Songkhla FC.

Di bahagian tengah pasukan Kelantan, pemain import dari Ghana, Emmanuel Okine tampak selesa dengan posisi beliau apabila berjaya mengawal jentera tengah pasukan Kelantan dengan efektif dan banyak membuat hantaran – hantaran tepat kepada Chikondi Mpulula dan Denny Antwi di barisan hadapan.

Kesebelasan utama pasukan Kelantan semalam.

Kombinasi Danial Fadzly Abdullah dengan pemain import, Denny Antwi dilihat agak serasi walaupun Danial pada mulanya dilihat banyak melakukan kesilapan mudah, bangkit untuk memperbaiki kesilapan beliau apabila mempamerkan aksi – aksi pantas bertukar – tukar hantaran pendek dan menghasilkan beberapa peluang cantik untuk Denny tetapi gagal disudahkan dengan baik.

Kesebelasan utama pasukan Songhkla FC semalam.

Bersambung babak kedua, ketika perlawanan memasuki minit 65, penyerang import Kelantan, Chikondi Mpulula terpaksa dibawa keluar selepas mengalami kecederaan dan digantikan dengan Muhammad Ramzul Zahini Adenan. Selepas itu, Songkhla FC menggandakan asakan dan berjaya memperolehi jaringan penyamaan pada minit ke 73 perlawanan. 

Jocip Bonacin bersalaman dengan TSAM.

Berselang beberapa minit kemudian, Songkhla FC berjaya menjaringkan gol kedua apabila penyerang mereka bijak mengambil kesempatan diatas kekalutan pertahanan Kelantan yang diketuai oleh Jocip Bonacin. Selepas itu, Songkhla FC berjaya menambah gol ketiga mereka apabila bijak memperdaya pertahanan Kelantan seterusnya merembat masuk ke gawang Kelantan menewaskan penjaga gol berpengalaman, Halim Napi.

Denny Antwi cuba melepasi pertahanan Songkhla FC.

Tamat perlawanan, Kelantan tewas 1-3 kepada pasukan Songkhla FC. Walauapapun, kekalahan dalam perlawanan persahabatan ini bukanlah menjadi satu kesan buruk buat The Red Warriors apabila sebahagian besar pemain yang diturunkan pada malam tadi bukanlah skuad Piala Malaysia dan tujuan perlawanan persahabatan ini diadakan untuk menguji bakal pemain import yang bakal menyarung jersi Kelantan untuk musim 2012 nanti.

Kesebelasan utama pasukan Kelantan semalam :

1.     Mohammad Syazwan [GK]
2.     Rizal Fahmi Rosit [KP]
3.     Nik Shahrul Azim
4.     Jocip Bonacin - [Import dari Crotia]
5.     Wan Zaman Wan Mustapha
6.     Danial Fadzly Abdullah
7.     Mohd Aris Zaidi
8.     Emmanuel Okine - [Import dari Ghana]
9.     Denny Antwi - [Import dari Ghana]
10.   Chikondi Mpulula - [Import dari Malawi]
11.   Khairul Izuan Rosli


Video oleh Pok Din Z :  Friendly : Kelate vs Songkla FC [HQ]
Laporan asal : Wan Ahmad Jauzi - [J Photography]
Diolah semula oleh : Nick Hafiz


Harimau Malaya Hilang Taring.




Pemain Australia, Luke Wilkshire (kiri) mengasak penjaga gol Malaysia,
Khairul Fahmi Che Mat aka Apex pada aksi persahabatan di Canberra, semalam.
Australia menang 5-0. - AFP


KUALA LUMPUR - Pahit untuk ditelan tetapi akui sahajalah hakikat bahawa mutu bola sepak kita meskipun bergelar juara Asia Tenggara, sebenarnya masih jauh ketinggalan.

Kekalahan besar skuad kendalian Datuk K. Rajagobal 0-5 kepada Australia di Stadium Canberra, semalam, merupakan realiti yang mengejutkan kita daripada lamunan mimpi menyangka bola sepak Malaysia sudah kembali ke landasan sebenar.

Tidak sejak kita disingkirkan negara jiran, Singapura, daripada kelayakan Piala Dunia, tidak juga sewaktu kita berhempas pulas melakar keputusan seri 4-4 dengan Taiwan.

Maka terbukti benar jugalah kenapa ada pihak di Australia cuba mempersoalkan niat Socceroos mengatur pertemuan persahabatan dengan Malaysia yang dilabel sebagai pasukan kerdil dan apakah faedah kepada gergasi Asia yang menghuni ranking ke-19 dunia itu.

Tanpa nama-nama terkemuka seperti Tim Cahill, Brett Emerton, Mark Schwarzer dan Harry Kewell, Australia tetap berada di kelas berbeza dan terlalu gah untuk dicabar kesebelasan pemain Malaysia.

Tuan rumah tidak menunggu lama untuk memulakan pesta gol apabila membuka jaringan pada minit ketiga menerusi Luke Wilshere selepas mudah menolak masuk hantaran bek kanan Middlesbrough, Rhys Williams dari jarak dekat.

Gol pembukaan itu mula menyerlahkan betapa rapuhnya pertahanan Harimau Malaya menyaksikan lawan dengan mudahnya bertukaran hantaran sebanyak enam kali yang dimulakan dari luar kotak, tanpa ditekan pemain kita sehinggalah gol disumbat Wilshere.

Selang empat minit kemudian, Malaysia berpeluang menyamakan kedudukan apabila Safee Sali berjaya melepasi kawalan dua pemain pertahanan lawan dari sebelah kiri padang dan melorongkan bola cantik ke tengah, namun tiada sesiapa yang berada di kotak untuk menyudahkanya.

Bermula saat itu, Australia mula menguasai bola secara menyeluruh dan melancarkan asakan demi asakan ke gawang Malaysia, sebahagian besarnya dari kedua-dua belah sayap, sementara pemain kita pula hanya mampu tercegat dan melihat.

Andai mendapat bola di kaki mereka pun, rata-rata mereka tidak tahu kepada siapakah mahu dihantar dan kelambatan bertindak menyebabkan ia mudah dirampas atau hantaran singgah ke pemain lawan.

Ketangkasan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat acap lagi menjadi penyelamat kepada kealpaan benteng pertahanan yang dibarisi Mahali Jasuli, Norhafiz Zamani Misbah, Muslim Ahmad dan Asraruddin Putra Omar, yang jika tidak, Malaysia berkemungkinan tewas dengan jumlah jaringan lebih besar.

Memasuki minit ke-30, Australia yang melancarkan serangan bertali arus sudah pun memperoleh 10 cubaan tepat ke gawang dan kebuntuan memburu jaringan kedua akhirnya dipecahkan oleh penyerang tinggi lampai, Joshua Kennedy, angkara kesilapan Amar Rohidan yang hilang bola di suku ketiga padang.

Penyerang Shimizu S-Pulse di Liga Jepun, Alex Brosque meledak jaringan ketiga sebelum Kennedy yang juga beraksi di Liga-J untuk Nagoya Grampus, melebarkan kedudukan 4-0 sebelum berakhirnya babak pertama.

Persembahan hambar pertahanan diparahkan lagi kegagalan jentera tengah berfungsi. S. Kunalan dan Baddrol Bakhtiar gagal mengancam dari bahagian sayap sementara Joseph Kalang Tie yang diberi kepercayaan Rajagobal mengisi kekosongan besar Safiq Rahim sebagai playmaker, tidak efektif.

Gandingan dua penyerang utama Harimau Malaya, Safee dan Nor Shahrul Idlan Talaha pastinya serba tidak menjadi ekoran kegagalan bahagian tengah.

Gol terakhir Australia yang melengkapkan keputusan 5-0, merumuskan kenapa Harimau Malaya begitu mudah diratah.



Sumber : Utusan Online - Sukan

Thursday, October 6, 2011

Harimau Malaya Membara.




Rajagobal ketika sesi latihan terakhir di Kelana Jaya, sebelum berlepas
ke Australia, selasa lalu.

HARIMAU Malaya kini berada dalam keadaan penuh bersemangat, yakin dan cukup bersedia untuk bertembung pasukan ranking ke-19 dunia, Australia pada siri persahabatan antarabangsa di Stadium Canberra, esok.

Jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal menyuarakan betapa tiada tekanan yang perlu dipikul anak didiknya sebaliknya bakal tampil dengan aksi lebih tenang menentang pasukan kedua terbaik benua itu.

Pengendali berusia 55 tahun itu turut berkata suhu malam di Canberra yang agak sejuk dan mencecah sekitar 11 darjah Celsius tidak akan menyentap kesungguhan skuad senior negara untuk menjelmakan satu persembahan terbaik di gelanggang lawan nanti. 

“Kita buat persiapan biasa seperti apa yang harus dilakukan. Keyakinan dan semangat pemain begitu tinggi dalam sesi latihan tadi (malam tadi). Kita akan turun (esok) dengan tekad mempamerkan persembahan yang baik. 

“Saya mahu pemain beraksi tanpa tekanan kerana ini bukan pertandingan sama seperti kelayakan Piala Dunia, hanya satu perlawanan persahabatan. 

“Cuma yang penting, saya mahu terus melihat perkembangan para pemain kerana ini adalah salah satu proses untuk memilih pemain dan membina sebuah pasukan mantap,” kata Rajagobal ketika dihubungi di Canberra selepas sesi latihan, malam tadi. 

Perlawanan esok bermula jam 8 malam waktu Australia iaitu bersamaan 5 petang waktu Malaysia. 


Ditulis oleh :  Wan Fakhrul Bakar | Berita Harian Online

Dari Liga FAM Ke Piala AFC.






Piala AFC 2012.


KELANTAN FA "Berada di tangga ketujuh Asean dan ke-317 dunia". Itu statistik terbaru yang dikeluarkan oleh International Federation of Football History and Statistics (IFFHS), semalam mengenai pasukan bola sepak Kelantan. Mungkin banyak pihak akan mencemburui, namun itu hakikat harus diterima betapa usaha Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) melalui pasukan bola sepak The Red Warriors mencipta kejayaan sejak tiga tahun kebelakangan ini kini membuahkan hasil. 

Daripada bergelar pasukan negeri yang pertama beraksi dalam Liga FAM, Kelantan seharusnya wajar dinobatkan selaku kuasa baru bola sepak negara berdasarkan beberapa kejayaan cemerlang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Langkah Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa mentransformasikan bola sepak Kelantan sejak sahaja mengambil alih tampuk kepimpinan Kafa penghujung 2007 dilihat cukup berjaya. 


Tampil dengan falsafah bola sepak yang tersendiri, Annuar memulakan langkah pertama dengan menjenamakan semula bola sepak Kelantan dengan gelaran The Red Warriors’ atau Pahlawan Merah yang cukup sinonim sehingga ke hari ini. Setelah melalui zaman gelap sejak beberapa tahun lalu termasuk pernah beraksi dalam Liga FAM pada tahun 2005, yang disifatkan liga kelas ketiga dalam bola sepak negara, Kelantan mendaki sedikit demi sedikit dengan menghuni Liga Perdana dan seterusnya mengungguli Liga Super pada hari ini. 

Melangkah ke pertandingan ke Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang akan berlangsung pada tahun depan memberi isyarat kepada Kelantan betapa penyertaan mereka buat sekadar untuk suka-suka. Sebaliknya, Annuar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), awal-awal lagi mendedahkan betapa pasukannya mahu melangkah lebih jauh biarpun baru pertama kali beraksi dalam perlawanan bertaraf antarabangsa. 


Kelantan FA Juara Liga Super 2011.


Bermula dengan menghuni tangga ketiga Liga Perdana pada 2008, Kelantan menongkah arus mengharungi cabaran Liga Super pada tahun berikutnya dengan kejutan luar biasa apabila mengakhiri cabaran di tempat keenam keseluruhan. Namun lebih menarik, sesuatu yang tidak boleh dilupakan pada 2009 apabila Kelantan berjaya mara ke perlawanan akhir Piala FA buat pertama kali, namun dikecewakan oleh Selangor menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 setelah kedudukan terikat seri 1-1 sehingga masa tambahan. 

Tidak terhenti di situ apabila pada tahun itu juga, Kelantan berjaya mengakhiri penantian sejak 39 tahun apabila mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia. Namun derita Kelantan sekali lagi berpanjangan, kali ini dinafikan hajat oleh Negeri Sembilan menerusi kekalahan 3-1. Tahun 2010 menyaksikan kebangkitan kembali The Red Warriors yang terlepas dua piala pada tahun sebelumnya. Biarpun tersingkir awal pada pusingan kedua kepada Kedah dalam kempen Piala FA, namun Kelantan membuktikan mereka antara pasukan yang perlu diberi perhatian apabila muncul selaku naib juara Liga Super di belakang Selangor. 

Tanggal 29 Oktober 2010 menjadi sejarah kepada bola sepak Kelantan apabila muncul juara piala Malaysia buat pertama kali sejak 89 tahun lalu. Tampil dalam pentas final buat kali kedua berturut-turut, dendam Kelantan akhirnya tertunai apabila berjaya membalas dendam dengan mengecewakan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan akhir. Permulaan yang baik pada tahun ini, meraih gelaran juara Piala Sultan Ahmad Shah pada 29 Januari lalu mengecewakan Selangor 2-0 di Shah Alam. Rentak cemerlang Kelantan bagaimanapun sedikit sumbang apabila tersungkur 2-1 kepada Terengganu dalam perlawanan akhir Piala FA pada 11 Jun lalu. 


Piala yang dimenangi oleh Kelantan FA dalam masa 3 tahun.

Kelantan kembali mendakap trofi kejuaraan, kali ini menjuarai piala Liga Super buat pertama kali sejak tujuh tahun lalu setelah mengalahkan Sabah 2-1 dalam perlawanan terakhir liga. Namun masih ada tugas yang belum selesai, mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi sememangnya cukup sukar dan lawan yang menanti kali ini, Terengganu bakal membuat perhitungan dengan Kelantan pada 10 dan 14 Oktober ini. 

Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu disifatkan gelanggang keramat bagi pasukan Kelantan. Stadium yang berusia 44 tahun itu menjadi saksi kepada jatuh bangun bola sepak Kelantan sejak beberapa dekad lalu. Kalau mahu melihat kemeriahan bola sepak Malaysia, datanglah ke Kelantan. Tatkala persatuan bola sepak negeri lain bergelut untuk menarik sokongan setia penyokong mereka sendiri datang ke stadium, gelanggang keramat bagi Kelantan itu tidak pernah sunyi dengan kehadiran puluhan ribu penyokong setia mereka. 

Tidak salah untuk mengatakan, kehadiran puluhan ribu penyokong itu sememangnya melebihi kapasiti stadium tersebut. Inilah wajah sebenar peminat fanatik bola sepak Kelantan. Mereka bukan sahaja menakluki stadium mereka sendiri, tetapi turut berkelana ke stadium di seluruh negara. Dari Perlis sehingga ke Sabah, tidak ada penyokong negeri lain selain Kelantan yang sanggup berkelana sejauh itu semata-mata memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.


Jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu  menjadi
jurulatih pertama membawa Kelantan menjadi Juara Liga Super.


Foto : Kelate.Net photography
Sumber : Dari Liga FAM ke Piala AFC  | Sinar Harian Edisi Kelantan - Sukan