Foto by : Shazli Shamsuddin Photography. |
Bukan mahu berada di kemuncak terlalu awal atau terlampau yakin, namun kemenangan bergaya 3-1 mengatasi T-Team membuktikan Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu kini sudah mendapat gambaran awal pemain mana yang berada di dalam perancangan beliau bagi menghadapi kempen Piala Malaysia tidak lama lagi.
Biarpun dilihat cuba berahsia namun percaturannya mengekalkan watak-watak utama sepanjang 70 minit perlawanan tersebut membuktikan inilah barisan terkuat yang bakal menjadi pilihannya menghadapi Sarawak pada perlawanan pembukaan 6 September nanti.
“Memang saya turunkan kesebelasan utama dalam perlawanan ini. Bila saya nampak tahap kecergasan mereka kurang barulah saya buat pertukaran.
Mereka perlu didedahkan dengan perlawanan seperti ini untuk mendapat rentak yang sebenar,” katanya sejurus tamat perlawanan, malam semalam. Menurutnya, sebenarnya siapa yang diturunkan itu tidak penting kerana pada masa yang sama juga saya mahu menilai prestasi pemain-pemain simpanan.
“Begitupun kemenangan ini cukup bermakna sebagai pembakar semangat kita memulakan saingan tidak lama lagi,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Karathu turut berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan dua pemainnya iaitu Azammuddin Mohd Akil dan penjaga gol, Mohd Shahrizan Ismail setelah mengharungi empat perlawanan setakat ini.
“Azammuddin beraksi cemerlang di bahagian serangan. Walaupun kita bermain dengan formasi 4-5-1 namun dia tidak menghadapi masalah menyesuaikan diri.
“Malah saya lihat dia sudah dapat membentuk satu kombinasi yang baik bersama Norshahrul Idlan (Talaha) dan Muhd Badhri (Radzi). Saya berharap dia mendapat sentuhan apabila berada di depan pintu gol selepas ini,” katanya.
Karathu berkata, Mohd Shahrizan hanya melepaskan satu gol daripada tiga perlawanan yang dia beraksi setakat ini. “Saya cukup yakin dengan keupayaan dia sekalipun dibayangi kehebatan Khairul Fahmi (Che Mat) sebelum ini.
“Posisi penjaga gawang sentiasa terbuka bagi sesiapa sahaja. Sama ada Khairul Fahmi kembali ke pangkuan pasukan dia perlu bersaing Mohd Shahrizan bagi merebut tempat tersebut selepas ini,” katanya.
Sumber : SH [Sinar Harian Edisi Kelantan] 27.8.2011